LATAR BELAKANG

Previous slide
Next slide

MAKLUMAT AM

MAAHAD TAHFIZ AL MUQRI (MTAM) telah ditubuhkan pada November 1999 dengan tujuan untuk mendidik serta menerap nilai-nilai Islam dalam sanubari anak-anak di sekitar kawasan ini.

Kami percaya, anak-anak yang diberi perhatian khusus, walau diperingkat mana sekalipun mereka berada akan dapat menerima ilmu yang diajar dengan lebih sempurna dan mampu mengamalkannya didalam kehidupan mereka dan mampu memberi impak yang baik kepada masyarakat sekitarnya.

Memandangkan asas agama sangat penting untuk pertumbuhan jiwa anak-anak yang baik dan bermoral, maka kami merasa terpanggil untuk mengisi kekosongan sekolah tahfiz dan agama di kawasan ini bagi memenuhi hasrat penduduk sekitar yang inginkan anak-anak mereka membesar dengan jiwa beragama.

Maahad Tahfiz Al Muqri berhasrat untuk menyediakan satu sistem pendidikan tahfiz al Quran dan Ulumiah yang mana jangka waktunya sekitar lima tahun untuk menjadi seorang hufaz yang jiwa mereka dibentuk berdasarkan tauhid disamping membina insan yang beriman, berilmu, berketerampilan dan berakhlak mulia melalui proses pembelajaran yang seimbang, bersepadu, menyeluruh dan berterusan.

0
November Tahun Penubuhan
Gambar Maahad Tahun 2000

MATLAMAT

Membantu ibubapa dalam mendidik anak-anak mereka dengan ilmu agama dan membimbing mereka menjadi insan yang berilmu dan berakhlak mulia.

Gambar Maahad Tahun 2000

TUJUAN

Memandangkan asas pendidikan agama amat penting dalam pertumbuhan anak-anak penduduk di kampung ini, maka amatlah penting diwujudkan tempat pembelajaran yang khusus.

Mengembangkan potensi murid daripada segi intelek, rohani dan jasmani sesuai dengan perkembangan umur dan zaman mereka.

Memahami dan mengamalkan nilai-nilai murni melalui penghayatan konsep iman, akhlak, tatabudi, dan perilaku berteraskan Islam.

Memupuk sifat kepimpinan dan tanggungjawab sebagai khalifah Allah dan usaha mengislahkan keadaan di sekeliling sesuai dengan peringkat umur murid.

Melahirkan generasi yang suka menghafaz al Quran.

Menyediakan perkhidmatan pendidikan dan pembelajaran yang berkualiti untuk pelajar dan masyarakat setempat.

Mendidik anak-anak dengan bekal ilmu dunia dan akhirat.

Mempersiapkan generasi Islam yang berilmu pengetahuan dan terselamat daripada masalah  sosial.

Dapat meringankan beban ibubapa dengan menawarkan yuran persekolahan yang murah.

Melahirkan generasi Islam yang mampu berdaya saing dalam arus kemajuan negara dengan berorientasikan pengetahuan agama.

SEJARAH RINGKAS PENUBUHAN

Maahad Tahfiz Al Muqri mula beroperasi pada 1 Januari 2000 dibawah seliaan Ustaz Mohd Shaari bin Husin (Pengerusi), Ustaz Mohd Daruzaman bin Abd Rahim (Mudir) dan beberapa ahli yang terlibat.

0
Januari Mula Beroperasi
Ustaz Mohd Shaari bin Husin
Ustaz Mohd Daruzaman bin Abd Rahim

Maahad ini terletak di alamat Lot 12 Kampung Kuala Sungai Baru, Batu 13 47100 Puchong Selangor. Proses pembangunan dan kewangan sekolah adalah melalui sumbangan orang ramai.

KAMPUNG KUALA SUNGAI BARU terletak didalam kawasan Puchong berhampiran Bandar Shah Alam yang mana majoriti penduduknya adalah beragama Islam.

Memandangkan koordinatnya berhampiran dengan bandar, maka anak-anak belia sangat terdedah kepada budaya yang tidak sihat. Memikirkan hal tersebut, maka Maahad Tahfiz Al Muqri mula mengorak langkah sebagai usaha bagi membendung kerosakan moral dan akhlak anak-anak di samping cuba membawa anak-anak ke dalam dunia Huffaz.

Pelajar MTAM

MAAHAD TAHFIZ AL MUQRI (MTAM) juga berperanan sebagai pembimbing anak-anak ke arah menghayati dan mengamalkan agama Islam yang syumul.

Di atas tanah wakaf seluas ¾ ekar, MTAM berusaha membawa anak-anak cintakan al Quran dan ilmu agama agar mereka berminat untuk mendalami ilmu-ilmu tersebut sehingga benar-benar menjadi seorang huffaz yang mahir. 

Dengan sokongan daripada pelbagai pihak, diharap usaha murni ini akan menjadi kenyataan demi meninggikan ilmu agama di mata masyarakat.

HARAPAN

Dengan berdirinya Maahad Tahfiz Al Muqri di Kampung Kuala Sungai Baru ini, tinggilah harapan kami semoga ia menjadi salah satu institusi pendidikan yang memberi pilihan kepada ibubapa di daerah Puchong dan kawasan sekitarnya. Diharap juga MTAM ini bakal melahirkan barisan ulama’ yang a’milin yang mampu menyerlah di tengah masyarakat pada masa akan datang.

Apa yang penting dan menjadi harapan terbesar kami, semoga generasi akan datang akan menjadi generasi yang berilmu dan berakhlak mulia. InsyaAllah.

SIJIL PENDAFTARAN